Sunday, April 19, 2009

CINTA TAK PERNAH BUTA


Wan mengeluh lagi. Entah kali keberapa perenggan itu diulang baca. Satu apa pun tak terpahat di fikirannya. Jam 10.00 malam. Sudah lama masuk waktu Insya’, tapi belum lagi ditunaikan fardhu itu. Irama dari radio rancak sedari tadi. Nasyid pop; unsur cinta, meluru masuk ke telinganya. Berdentum-dentum, membuai-buai ingatan Wan. Tiba-tiba, dia menutup buku. Menoleh ke kanan, ke kiri; meregang otot di leher. Lalu bangun berdiri, menuju ke katil. Novel “ Mahligai Kasih” nukilan Sari Maysuri dibelek.

“ Eh, dah habis study Wan? Cepatnya! Tadi aku nampak kau baru pegang buku tu, tak sampai 20 minit pun,” sapa Jamilah. Gadis tinggi lampai. Rambut perang. Baju singkat, nampak pusat.

“Tahla, satu apa pun tak masuk.” Wan mengeliat kemalasan. Kalendar di sebelah dilihat sekilas, lagi sebulan. Peperiksaan pertengahan penggal.

“ Aii, apa nak jadi dengan kau ni. Itulah asyik ingatkan si dia saja. Aku tak sukalah kau macam ni. Susah hati sebab lelaki, menangis pun sebab lelaki. Heii, geram betul aku. Bukan sikit kawan-kawan aku yang merana sebab lelaki ni. Kita ni perempuan, perempuan kena ego jugak. Jangan bagi jantan pijak kepala kita!”

“ Yalah, yalah… aku tahu. Tak ada apa-apalah. Aku, kalau dia jumpa orang yang lebih baik daripada aku pun, aku tak kisah. Ni kan taqdir. Jodoh maut di tangan Tuhan.”

“ Aii, pening aku tengok kamu berdua ni. Bercinta macam orang tak bercinta! Ni aku nak keluar ni, kau nak pesan apa-apa?”

Wan menggeleng lesu. Dikerling kelibat Jamilah yang menghilang di sebalik daun pintu. Wan bingkas bangun menuju ke tandas, menyempurnakan wudhu’. Benar, sejak akhir-akhir ini dia semakin acapkali solat tidak di awal waktunya. Malah sudah pandai solat di kamar sendirian.

……………………………………………………………………………………………

“ Why we cannot sit together with the boys at the canteen? It’s not a wrong thing. Besides, nothing will happen. Kami tak rasa apa-apa pun. Kami bukan bercinta!” Yanti menempelak keras. Agak emosi. Nampak gelora di mata. Berapi-api.

“ Tak. Bukan saya kata tak boleh. Boleh, tapi atas sebab-sebab yang dibenarkan syariat. Adab kena jaga. Mata, telinga, kata-kata yang keluar dari bibir ni pun kena jaga,” Wan senyum. Jari telunjuk di bibir. Lembut suaranya.

“ I’m not satisfied”

Degilnya budak ni! Bisik Wan. Hatinya menggerutu geram.

Hati yang ego, konon arif. Benarlah, kata-kata di dalam hatinya itu kembali menghukum empunya diri. Tuhan Maha Adil. Jangan menilai, jangan ada benci, ukur baca di badan sendiri!

Sebak. Hati Wan menangis. Entah sebab apa. Selalu saja termenung. Dan tiba-tiba menangis. Dia resah bagai banduan yang menunggu hukuman mati. Satu-persatu ayat dalam kitab itu dibaca;

Cinta adalah penyakit. Penyakit hati. Yang pelik, namun ada ubatnya. Mencintai rupa lahiriyah hanya menimpa kalbu yang hampa dari mencintai Allah Taala, yang telah berpaling dan menggantungkan diri kepada selain-Nya. Seandainya hati dipenuhi kecintaan terhadap Allah SWT dan rindu pada perjumpaanNya, maka akan tertolaklah penyakit tersebut.

Perbualannya bersama Solehah terngiang-ngiang. Sahabat itu banyak menyimpan rahsianya. Solehah, seperti orangnya. Dengan jernih paras, tudung bulat dan senyum menawan.

“ Ana tak tahan lagi Solehah. Ana bukan jemu, ana bukan benci. Ana tahu ana boleh setia. Tapi ana takut…ana takut, ana nak lepaskan diri dari ikatan ini, belenggu ini..tapi ana tak kuat!”

Air mata menitis lagi.

Rasulullah bersabda,”Wahai para pemuda, siapa di antara kamu yang mampu kahwin, kahwinlah; dan siapa yang belum mampu, maka berpuasalah. Sebab puasa itu mempunyai wija’ ( perlindungan daripada dorongan hawa nafsu)

Apa penawar cinta bila ia telah melekat di celah-celah sanubari?

Solehah merenung sahabat akrabnya, tunak. Simpati memeluk tangkai hati.

“ Ana takut dengan ikatan yang tak dihalalkan ini. Ana risau, kalau-kalau dia berubah. Ana bimbang, kalau-kalau ana sendiri turut tertarik. Ana mahu bimbingi dia. Ana sayang dia, sungguh-sungguh. Betul!”

Wan sudah teresak-esak.

“ Tapi ana tak kuat. Kami semakin jauh! Ana dah gadai semua prinsip ana. Segalanya sudah jadi milik dia. Hati ini, rindu ini, malah setiap nafas yang ana sedut; semuanya ada terpancar namanya!”

Astaghfirullahal’azim. Solehah mengurut-ngurut dadanya. Terkejut. Kecewa. Keduanya berbaur. Tapi bibirnya tetap membisu.

“ Ana tak sampai hati Leha. Tergamakkah melukakan hati orang yang kita sayangi? Lebih-lebih lagi ana dahulu yang menabur janji…Tapi ana takut!”

“ Apa yang enti takutkan Wan?” Solehah mula berbicara. Persis sang peguam menyoal pesalah.

“ Ana takut..ana takutkan sesuatu..tapi tak kelihatan apa sebenarnya. Samar-samar”

“ Enti takut akan pandangan masyarakat?”

“ Entahlah”

“ Apa yang nak dirunsingkan. Zaman ini sudah menghalalkan segala-galanya. Cinta muda-mudi kan sudah menjadi satu kebiasaan. Malah benda yang pelik pula jika tak punya pacar,” bakal ustazah itu mula memprovok. Pura-pura . Berlagak tenang.

“ Ana rasa bukan ini aturannya. Tak tercatat pada manual. Pada panduan yang patut ana buat. Ya, benar!”

Solehah senyum. Hatinya juga.

………………………………………………………

Ubat cinta mahsyuk.

1. Jika pencinta itu berusaha untuk mendapatkan apa yang dicintainya sesuai dgn kemampuan dan syariat, maka inilah ubatnya. Seperti yang disebutkan di dalam hadith Bukhari dan Muslim, hadis dari Ibn. Masud ra berkata; Rasulullah bersabda,

Wahai para pemuda, siapa di antara kamu yang mampu kahwin, kahwinlah; dan siapa yang belum mampu, maka berpuasalah. Sebab puasa itu mempunyai wija’ ( perlindungan daripada dorongqan hawa nafsu)

Diriwayatkan oleh Ibn Majah dari Ibn. Abbas ra, Nabi SAW bersabda;

Tidak kami melihat sesuatu yang lebih baik bagi dua orang yang saling mencintai seperti pernikahan.

2. Jika tidak ada jalan bagi sang pencinta itu untuk mendapat orang yang dicintainya, baik dari segi kemampuan, mahupun syariat (dan ini adalah penyakit kronik) maka rawatnnya adalah;dengan menanamkan dalm jiwanya perasaan putus asa terhadapnya. Kerana bila jiwa merasa putus asa terhadap sesuatu, maka ia akan bebas dari belenggunya, dan ia akan berpaling darinya.

Seandainya penyakit asyik ini tidak hilang dengan rasa putus asa, maka bererti orang yang ditimpa itu mengalami gangguan dalam hatinya. Kerana itu perlu diberi rawatan kepada akalnya. Sebab tergantungnya kalbu pada sesuatu yang sudah diyakini tidak akan diperoleh adalah termasuk salah satu dari jenis gila. Orang yang demikian itu ibarat orang yang rindukan mentari, di mana jiwanya melayang-layang.

Jika hubungan itu terhalang dari segi syarat dan kemampuan, maka segala sesuatu yang tidak diperkenankan Allah itu caranya adalah dengan menjauhinya.

Seandainya nafsu ammarahnya tidak mahu menerima alasan di atas, maka ia harus memilih antara dua pilihan; kosyyah ( takut) atau kehilangan yang lebih dicintai, lebih bermanfaat, lebih baik dan lebih kekal kelazatan dan kesenangannya.

Sesungguhnya orang yang berakal itu, bila disuruh memilih antara dua pilihan yang satu cepat hilangnya, sedang yang lain lebih agung, lebih bermanfaat dan lebih abadi; maka ia tentu tidak akan mengorbankan kelazatan abadi itu dengan kelazatan sementara yang dapat berubah-ubah.

Jika rawatan di atas masih juga tidak berkesan, maka ia harus memikirkan keburukan-keburukan yang akan timbul akibatnya. Jika tidak juga hilang, maka ia harus memikirkan keburukan-keburukan serta kekurangan orang yang dicintainya itu. Kerana biasanya yang mendatangkan cinta itu adalah keelokan orang yang dicintai. Jika semua rawatan ini tidak juga memberikan hasil yang memuaskan, maka ia harus menyerahkan diri kepada Allah, meminta pertolongan dan petunjuk.

Catatan Solehah. Wan tekun membacanya.

“ Ana tak cukup kuat. Ana tak mahu lukakan hatinya..Ana sayang dia. Sayang sungguh-sungguh.”

“ Enti kata ni sayang!? Sayangkah kita kalau kita mengheret orang yang kita sayangi ke lembah hina? Enti menambah lagi dosanya! Enti tak nampak lagikah?”

“ Ana berserah pada Allah. Ana akan ikut apa yang tersurat”

“ Ana tak sangka ana ada sahabat yang mudah berputus-asa. Terangkan padanya. Dia harus faham. Dia patut. Dia tiada haq! Patutkah diteruskan hubungan andai ia membawa kepada maksiat!”

Wan teresak.

“ Ini! Hati ni Wan! Hati ini yang kita wajib pelihara. Amal kita, cinta kita, segalanya hanya layak untuk Yang Satu itu!”

Wan kian menunduk. Air mata tak putus-putus!

“ Terangkan kepadanya. Satu-satu. Moga dia faham yang perjalanan masih jauh. Ana mahu enti berlari, selaju yang boleh. Dan ana akan terus memberi sorakan di tepi padang!”

Air mata terus mengalir lesu.

“ Wan sayang, cinta tak pernah buta. Kita sebenarnya yang buta dalam menilai cinta. Cinta Ilahi kasih yang tak bertepi. Jangan gundah, sebab jika sinar cinta itu menyinari hidup kita, selamanya tak mungkin ada luka. Percayalah!”

Wan Rabiatul Adawiyah mendongak. Solehah mengangguk. Senyum dua sahabat itu mengiringi fajar yang kian menyingsing.

0 Comments:

Post a Comment