Sunday, March 1, 2009
BERBOHONG adalah satu kesalahan. Berbohong menggunakan nama
agama adalah kesalahan yang lebih besar. Saya hairan mendengar
sesetengah penceramah agama yang menyatakan haram berbohong, tetapi
semasa ceramahnya, dia juga melakukan dosa pembohongan yang paling besar.
Apa tidaknya, dia berbohong dengan menyatakan Rasulullah SAW bersabda
sesuatu hadis sedang hadis tersebut adalah palsu pada nilaian ilmu
hadis. Bohong jenis ini jauh lebih besar dosanya dari bohong saudagar
atau ahli politik. Bohong saudagar dan ahli politik merosakkan harta
orang, tetapi bohong pembaca hadis palsu merosakkan agama. Sebab itu
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang mutawatir:
Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku)bukanlah
seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).
Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat
duduknya dalam neraka".
Hadis palsu adalah hadis yang direka atau diadakan-adakan, sedangkan
ia tidak berasal daripada Rasulullah SAW.Banyak hadis rekaan ini
dibaca oleh para penceramah yang jahil. Sehingga saya selalu menegur
seorang ustazah tv yang sering membaca hadis-hadis jenis ini untuk
hidangan penonton.
Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak bersalah,sebab
mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang memuatkan
hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan,
maka tidak patut dipersalahkan. Mereka lupa penyebar hadis palsu sama
ada menerusi ucapan atau tulisan, dia dalam masa yang samasebenarnya
menipu orang lain apabila menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW
tanpa bukti yang sah. Pendengar akan terpedaya lalu mengamalkan
perkara yang dianggapnya daripada Nabi SAW, sedang ia bukan seperti
yang disangkakan.
"Islam Itu SANGAT INDAH dengan gambaran yang sebenar"
"Islam berdasarkan hujah dan dalil"
"Kembali kepada AL-Quran Dan As-Sunnah Manhaj Salafussoleh"