Thursday, January 1, 2009
Nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah tidak terhitung banyaknya. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang. Ini jelas dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (Surah an-Nahl, ayat 18)
Sesungguhnya kebanyakan manusia selalunya lupa kepada nikmat Allah, kecuali apabila nikmat itu ditarik balik oleh Nya, misalnya nikmat kesihatan akan betul-betul dirasai apabila kita sakit, dan nikmat kekayaan dirasai bila jatuh miskin dan melarat, atau harta benda dan pangkat hilang dalam sekelip mata, dan lain-lain.
Mensyukuri nikmat Allah adalah wajib kepada setiap muslim, tanpa mengira kaya atau miskin. Mereka yang tidak mensyukuri nikmat Allah, adalah mereka yang tidak kasihkan Allah atau tidak tahu berterima kasih. Dalam al-Quran Allah swt berfirman maksudnya:
"Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya." - (Surah an-Nahl, ayat 144)
Oleh itu sentiasalah bersyukur dan berterima kasih di atas nikmat dikurniakan kepada kita. Dengan mensyukuri nikmat Allah, insya-Allah akan menambahkan lagi nikmat kepada kita, sebaliknya jika seseorang itu lalai atau tidak mensyukuri nikmat, Allah memberi amaran akan azab atau musibah di kemudian hari.
Firman Allah swt,maksudnya:
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku (Allah) akan tambah lagi (nikmat-Ku) kepada kamu dan sebaliknya jika kamu kufur (ingkar tidak bersyukur), maka sesungguhnya azab-Ku adalah amat pedih." - (Surah Ibrahim: 7)
Firman Allah swt yang lain,maksudnya:
“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” - (Asy Syuura:30)
Tanda seseorang itu bersyukur ialah dengan sentiasa ingat kepada Nya setiap waktu, rajin dan bersegera melakukan ibadat, sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya, serta takut melakukan kemungkaran atau dosa.
Kebanyakan manusia tidak bersungguh atau suka bertangguh untuk melakukan perkara kebaikan, dan alasan yang biasa diberikan ialah sibuk, atau sudah merasa cukup dengan amalan yang ada, dan ada yang beranggapan amalan yang dilakukan seharian sudah cukup baik, walaupun pada hakikatnya bercanggah dengan ajaran Islam. Ini semua adalah bisikan syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia menyebabkan manusia sentiasa merasa tindakannya adalah baik.
Firman Allah swt, maksudnya:
”Iblis berkata: Ya tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesat mereka semuanya”. (Al-Hijr: 39)
Orang yang bersyukur juga tidak menyombongkan diri walaupun dikurniakan harta yang banyak atau pangkat yang tinggi, kerana manusia sebenarnya amat kerdil dan perlu bergantung kepada Allah swt. Allah swt memberi peringatan seperti berikut:
”Dan janganlah kamu berjalan di bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung” (Al-Israa’: 37)
Sempena dengan kedatangan tahun baru hijrah dan tahun baru masihi, adalah amat wajar sekali kita menzahirkan kesyukuran kepada Allah di atas nikmat Nya kepada kita, dengan menanam azam untuk meningkatkan lagi prestasi kerja dan ibadat kita. Antaranya bertekad bekerja lebih kuat dengan penuh ikhlas kerana Allah semata-mata, berusaha menambahkan ilmu agama, menyegerakan solat 5 waktu, berusaha bersolat di surau / masjid, membantu sesama Islam, membantu tenaga dan wang dalam perkara kebaikan, tidak membuang masa, tidak berbelanja secara berlebihan (untuk mewah), dan tidak menyombong diri, menjaga tutur kata, perbuatan dan pergaulan, menutup aurat, dan menjauhi segala maksiat / larangan Allah. Mudah-mudahan hari yang mendatang akan menjadikan kita lebih baik dan berkualiti. Renungkanlah Sabda Rasulullah saw:
Dari Abdullah Bin ‘Umar (RA) katanya: Telah bersabda Rasulullah saw: "Sebaik-baik orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT. "
Selamat Tahun baru Hijrah dan Tahun Baru Masihi!