Saturday, November 8, 2008




Aku tergamam metah. Kehadirannya merencatkan asyikku melayari bacaan novel Tidak Secerah Mentari, karya Ramlee Abu Saleem. Penulis yang sedang meningkat naik dalam arus penulisan novel di negara ini. Lantas kututup novel itu. Was-was serentak menggugahi aspal hati sehingga aku terkial-kial membetulkan tempat dudukku. Sememangnya kehadiran diri itu menarik hati yang tajarrud, lalu menginjak tanah nostalgia yang masih menyelubungi ingatanku.

Diakah itu??. Lelaki yang meninggalkan aku setelah dua tahun kami bersama. Juzaili??
Ah, nama itu kembali menghantui mandala ingatanku. Nostalgia lalu bagai terbayang di tubir mata.

Wajahnya saling tak tumpah. Dua mata yang redup dengan alur bibir yang kecil molek menjadi pusat renunganku buat beberapa saat. Aku mematikan seluruh deria rasa untuk kembali menumpukan ke arah wajah itu. Seluruh deria rasa yang tertumpu itu cuba menikmati kemanisan persahabatan yang nyata sudah terkikis dan sepahit hempedu.

Ada orang disebelah ni?
tanyanya lembut dengan senyuman yang membuatkan aspal hatiku hampir gugur.

Tak, duduklah kalau nombor tiket awak di sini
jawabku acuh tak acuh sambil cuba menyembunyikan resah yang bersarang di hati.

Perjalanan dari Johor Bharu ke Kuala Lumpur kali ini ku rasakan pasti menjadi begitu lama. Kenapa setelah enam bulan dan setelah ku berjaya untuk melupakannya, tika ini dia muncul kembali. Aku terus berperang dengan hati.

Aku kembali menggapai novel. Cuba mengkhusyu’kan kembali bacaan yang terganggu. Tapi mataku masih gatal mahu menjeling jejaka disebelah. Bukan kerana aku sudah terpikat, tapi mahu memastikan sama ada diakah orang yang kurindui selama berbulan ini.

Matanya pantas mengikat sinar resah di korneaku. Dia tersenyum lagi. Tiada perkataan yang keluar dari mulutnya. Bisukah dia?. Ah, lelaki memang begini. Menunjuk ego pada wanita sepertiku. Atau mungkin juga dia segan untuk memulakan bicara denganku. Maklumlah dengan pakaiannya yang bagai pak imam masjid takkan mungkin mahu berbicara denganku. Aku kembali berhusnuzdhan dengan kelakuannya.

Aku kembali menyoroti wajahnya. Masih tersenyum seperti tadi dengan mata yang sudah terkatup. Sudah lena di ulit mimpi rupanya. Mungkin kepenatan atau mungkin juga cuba untuk menyimpan tenaga sebelum berkelana di bandar besar nanti.

Aku tertancap pada tahi lalat di sebelah alur bibir kanannya. Juzaili???!! Memang dia. Walau sudah enam bulan tidak bertemu, aku masih lagi dapat mengecam akan wajahnya. Nampak seperti wujud sedikit perbezaan walaupun aku tak pasti di mana.
Darah berlari laju. Keluar masuk dari kamar aurikel dan ventrikel, lalu bersimpang-siur ke segenap sel. Vena dan aorta tidak lagi macat. Hatiku kembali digetis resah. Rona mendung berjangkit ke wajah.

Aku tidak tahu apa punca. Dia tiba -tiba meminta perhubungan kami diputuskan. Apatah lagi meminta aku terus melupakan segala nostalgia yang kami lalui bersama. Dia mahu aku membuang semua kenangan yang berkaitan dengannya.

Aku cuba memuhasabah diri, mencari justifikasi tindakannya yang mengorbankan ikatan cinta yang terjalin sekian lama. Aku menekur sejarah perjalanan cinta yang mekar seusia dua tahun itu. Aku terkedu, menggapai-gapai punca yang dirasakan berpilin-pilin. Sungguh, aku tidak menemukan sebab yang meretakkan cermin cinta dan kasih kami.

Aku sememangnya bersyukur ditakdirkan bertemu dengannya. Bantuan dan budinya bukan sedikit padaku. Merenung kembali sejarahku sebelum ini, aku rasa dia seperti malaikat yang turun ke bumi untuk memimpinku. Tapi kenapa sesudah dua tahun dia meminta hubungan ini diputuskan?. Aku terus khilaf dalam diriku sendiri.

Aku melemparkan tubuh ke kerusi bas. Entah apa yang patut kukatakan tentang bas ini. Dari luar kuperhatikan sungguh menarik dan mempersonakan tapi di dalamnya sungguh mengejutkanku. Jangan menghakim seseorang hanya dari luarannya sahaja. Aku bermonolog sendirian. Adakah ini juga pandangannya terhadapku setelah dia kurasakan sudah sangat mengenali diriku selama dua tahun ini.

Sejuk dari hawa dingin bas menjarah epidermis diri. Sambil memperkemaskan rangkulan baju sejuk, aku melemparkan pandangan keluar tingkap. Melihat indahnya ciptaan Al-Khaliq. Mata ku menggomol bukit menghijau yang kininya sudah bertukar rupa. Ditelanjangi oleh mereka yang gilakan pembangunan dan kekayaan hingga merosakkan keindahan dan kestabilan alam semulajadi. Manusia memang mudah melupakan budi. Bila sudah susah baru mahu beringat.Ah, aku seperti cuba melepaskan geramku padanya. Hati ku kembali bergetar. Radang menjentik. Kebencian mula menyala.

Ya Allah..astagfiruLlah al azim
aku beristighfar panjang mengenangkan kemarahanku tadi. Mungkin dia ada masalah. Tapi kenapa tidak berkongsi bersama denganku.

Mengenang kembali detik pertemuan dengannya membuatkan hatiku hiba. Hobi bersembang dalam IRC di internet menemukan aku dengan seorang lelaki yang akhirnya telah banyak merubah hidupku. Setelah mendapat hidayah daripada al-Khaliq, aku cukup bersyukur apabila ada orang yang sudi membantuku dari seorang yang tidak punya apa jua ilmu agama kepada manusia yang sekurang-kurangnya mampu menunaikan tanggungjawab pada Ilahi.

Hidup di Bandaraya Kuala Lumpur memang menyeronokkan. Sebagai anak orang berada dan lebih – lebih lagi apabila bapaku punya jawatan yang tinggi dalam kerajaan, hidup ini dirasakan cukup bebas. Bebas bergaul, bebas bergerak , bebas membeli apa yang dihajati dan bebas segala – galanya kerana tiada siapa yang akan menghalangku.

Bergaul dengan rakan-rakan yang juga senasib denganku membuatkan aku bertindak liar. Setiap malam kami akan menyelusuri cahaya malam Bandaraya Kuala Lumpur dengan berhibur di disko-disko yang halal yakni disko yang berlesen. Katakan sahaja kelab mana yang tidak kami jelajahi. Modestos, Orange House dan berbagai-bagai lagi rumah syaitan telah kami makmurkan.

Buuuummm!!!
Gertakan guruh di langit mematikan lamunanku. Hujan makin menggasak, keras memukul bumi. Makcik dihadapan ku cuba mententeramkan anaknya yang menangis tergegau amat. Jejaka disebelah tempat dudukku juga terperanjat. Tapi beberapa tika kemudian ku perhatikan dia kembali menjejaki mimpinya yang mungkin terganggu sebentar tadi. Aku juga kembali mengimbau nostalgia malam yang telah memberi sinar baru dalam hidupku.

Semuanya bermula pada malam itu, setelah penat berhibur dan membuat ma’siat di disko, aku pulang ke rumah dengan kepala yang berpinar. Panas yang menjalar hingga ke epidermis membuatkan aku keluar ke beranda bagi menyejukkan tubuh.

Dari beranda rumah di Taman Tun Dr. Ismail, kawasan perumahan elit di pinggir bandaraya, aku melemparkan pandangan ke segenap kota Kuala Lumpur yang masih disinari pancaran mentol-mentol yang bewarna-warni. Mataku menyoroti bayang-bayang dalam kegelapan. Lantas tertancap pada sepasang manusia yang sedang mabuk dan bercumbuan sambil berbaring di atas jalan betul-betul di hadapan rumahku. Tanpa segan silu ku petia mereka melakukan pekerjaan yang terkutuk.

Benar Firman Allah. Manusia akhir zaman ini sudah tidak ada sifat malu dalam diri. Perkara - perkara maksiat dilakukan secara terang-terangan dan siapa yang melakukannya akan dipuji dan dipuja bagai pahlawan yang memenangi peperangan.

Serentak petir memanah bumi, aku terperanjat lantas terherot ke tepi. Mataku terus ke arah panahan petir tadi, sebatang pokok menjadi mangsanya. Batang pokok yang selama ini gagah berdiri akhirnya tumbang menyembah bumi dan hampir-hampir meragut dua nyawa. Bertempiaran lari si jantan dan betina tanpa seurat benang di tubuh. Mungkin Allah masih membuka peluang untuk mereka bertaubat atau sekadar kiasan untuk aku supaya membuka apsal hati yang terlalu ladah ini agar disucikan kembali.

Bagai robot yang diprogramkan, kakiku pantas menuju ke bilik air. Bukan untuk mandi atau membasuh muka seperti acapkali yang kulakukan. Tapi kali ini dengan kesedaran yang muncul dalam atma, aku meladeni wudhu dengan khusyu’. Terasa sejuk mencengkam seluruh tubuh yang sudah lama tidak basah menerima air wudhu’

Usai berwudhu’ aku segara menuju ke bilik. Tangan pantas membuka almari dan terus mencari telekung. Ah,jauh terperosok daripada pakaian-pakaian lain yang lebih mendapat tempat di tubuhku. Masih terasa bau tangan Mak Jah. Wanita yang cukup bersemangat dan berhati waja.
Teringat tika dia bercerita dihalau keluarga kerana sudah bertukar agama kepada Islam yang agung dari agama nenek moyangnya. Kisah dia disiksa supaya meninggalkan Islam. Hatiku bagai dikelar bila mendengar penderitaannya. Lari dan akhirnya diambil sebagai pengasuhku oleh keluargaku.

Dialah yang mengajarku kiam menghadap Ilahi, sesuatu yang tidak pernah ku terima daripada kedua orang tuaku. Tapi sejak Mak Jah atau Khadijah Habibah meninggalkan ku sekeluarga setelah mengalami strok, aku langsung lupa dan alpa. Langsung segala apa yang diperolehi daripadanya berkubur begitu sahaja.
Sejak malam itu aku sememangnya mencari sahabat untuk berkongsi dan tika itu muncul Juzaili. Walaupun hanya melalui email, dia telah banyak membantuku. Setelah berjumpa tiga kali ketika di universiti, akhirnya aku menerima lamarannya yang ingin menjadikanku suri rumahnya yang solehah.

Janji itu yang ku pegang begitu lama. Tapi tika itu aku seperti terhutang budi dengannya. "Ah,mungkin aku yang tidak ikhlas berhubungan dengannya sebelum ini.Mungkin ini balasan Allah padaku."aku terus bermonolog sendirian.

Aku bukanlah alim, tetapi aku mengetahui, yang aku sudah memenuhi tuntutan syariat. Meski berbaju kurung, tetapi aku sudah pun menutup aurat. Meski bertudung tiga segi, tetapi hujungnya sudah melindungi dada ku. Apa yang kupelajari, wajah dan tapak tangan dikecualikan daripada pengertian aurat. Justeru berdasarkan perpekstif itulah, maka aku masih berpakaian seperti sekarang ini, baju kurung dan tudung tiga segi yang masih menutupi dada.

Atau adakah kerana aku begitu aktif di universiti yang menyebabkan aku banyak bersosial dengan wanita dan lelaki lain menyebabkan dia tawar hati padaku. Aku masih tahu batas-batas agama sehingga sekarang aku masih lagi berkostum hijab dan yang paling penting aku jua tahu muamalah dalam Islam.

Kawan ku, Liyana cuba menghasutku.
Kau terlalu beku dalam perhubungan kalian. Lihatlah aku, merelakan diri dikucup dan diraba, hingga menjelajah ke pelusuk terlarang.
Aku terkasima sebentar. Aku menjenggil mata, serapuh itukah nilai diri?

Liyana ketawa menggilai,
"ala bukannya luak pun. Hanya setakat dikucup dan diraba, tidak sehingga menerobos hingga ke ...

Aku pantas tutup telinga, tidak mahu mendengar kalimat selancang itu. Apakah maruah itu pada selaput dara? Apakah kerana selaput dara tidak diterobos, tetapi seluruh penjuru berbukit dan berlurah sudah dijarah, maka masih wujud maruah diri?

Bagi ku, selaput itu bukanlah maruah pada hakikatnya. Selaput itu hanya sebahagian petanda wujudnya maruah. Apabila wanita merelakan diri dicumbu tangan dan bibir lelaki tanpa ikatan yang sah, tidak ada gunanya maruah meski selaput yang tipis itu masih terjaga. Pantas sejak itu aku tidak serapat dulu dengan Liyana. Dia bukan penasihat yang secocok denganku.

Hujan masih kuat turun ke bumi. Perjalanan bas nampak perlahan. Mungkin terganggu dengan hujan yang lebat membasah bumi.

"Lebuhraya sebesar ini pun jammed, apatah lagi eritrosit, leukosit dan platlet tersedu-sedu sepanjang lebuh raya yang sendat di vena dan aorta" fikirku.

Kami menghampiri kota kosmopolitan yang cukup ampuh di negara ini. Cahaya berkilauan dari mentol - mentol di sekitar bandaraya ini mengganggu penglihatanku. Tatkala aku meredupkan pandanganku keluar tingkap, aku terpandang pada seseorang yang berwajah seperti Juzaili. Seorang lagi pelanduk yang serupa??!!

Tapi belum sempat impuls dari mataku sampai ke serebelum, aku sudah terlebih dahulu menjerit tegang.

"Juzaili!!!!!".
Aku mewa. Perlahan segumpal nafas menerpa keluar mengikut rongga hidung.

"Kenapa ni??..awak bermimpi??"
terus - terusan dia menyerangku dengan soalan- soalannya. Mungkin marah tidurnya diganggu atau mungkin juga malu apabila semua mata menghala kepada kami.

Aku diam. Suasana sepi seketika. Cuma kedengaran bunyi renik hujan menghentam badan bas ekspress ini.
Aku menyimpul kekuatan sebelum mahu memulakan bicara.

"Maaf menyusahkan saudara. Saya bermimpi terjumpa sahabat lama".
Aku cuba menyusun kata agar dia faham.

"Wajahnya mirip saudara. Ah, bukan itu sahaja, ulah saudara persis dirinya"
Aku luahkan segala yang terbuku di hati tapi tetap berhati-hati.

Dia diam dan senyuman masih lagi lekap di alur bibirnya. Ah, senyuman itu membuatkan atmaku kembali tegang. Matanya lantas mencerunkan pandangan pada wajah dan tubuhku. Tidak betah ku diperlakukan sedemikian.

Dia bersuara akhirnya.

"Juzaili?..Dia itukah yang awak mimpikan?"
soalnya perlahan tapi cukup membuat dadaku berombak laju. Dia masih tersenyum. Mirip sungguh dengan Juzaili yang juga punyai lesung pipit.

"Ya..Juzaili Johan. Kami pernah bersahabat sebelum ini. Tapi akhirnya dia menghilangkan diri enam bulan yang lalu. Malah dia menyuruh saya melupakannya."
lancar suaraku melewati kerongkong bersama hembusan nafas kelegaan. Aku juga tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk membuka kisah sengsara ini.

Dia masih tersenyum. ‘

"Ah, jangan kau seksa aku dengan senyumanmu itu."
marahku dalam hati.

"Juzaili Johan Bin Esqandar Merza?? Diakah yang awak katakan tadi??"
katanya perlahan tapi cukup membuatkan aku tersentak.

"Dari mana dia tahu nama penuh Juzaili? Adakah dia lelaki yang aku rindukan itu"
aku berfikir sendiri. Aku melarikan pandangan keluar tingkap. Disebelah kananku rupanya Penjara Pudu. Bermakna tidak sampai sepuluh minit lagi kami pasti akan tiba ke Puduraya. Sekilas aku kembali menoleh ke arah lelaki disebelah.

"Saya Jumaizi, abang kembar kepada Juzaili."
jelasnya dan sudah pasti mengejutkanku. Dua tahun bersama dia masih banyak rahsianya yang belum lagi kuterokai.

"Saya ke Johor Bharu ini pun sebenarnya untuk mencari awak, ukhti Mawaddatul Nur Zulaikha. Di UTM saya dikhabarkan yang awak sudah pulang bercuti. Jadi saya ingin pulang kembali ke Ipoh. Tapi tak sangka Allah pertemukan kita dalam bas ini. Saya banyak mendengar kisah awak daripada adik saya. Suka,duka dan sebagainya. Tapi sayang awak dan dia memang tiada jodoh. Semuanya takdir Allah yang esa. DIA yang mengatur segalanya dan DIA jua tahu apa hikmahnya"
ceritanya panjang lebar.

Aku tersentak. Bibir terengket. Mata terkedip. Tangkai hati terjerut. Katanya tadi kami memang tiada jodoh.

"Kenapa dengan Juzaili sebenarnya abang?" aku memberanikan diri memanggilnya dengan panggilan abang justeru dia abang kandung Juzaili.

"Dia, dia, dia telah meninggalkan kita semua sebulan yang lalu. Dia menghidap barah otak."
perlahan, tapi cukup membuatkan denyutan jantungku terhenti seketika.

Aku tergegau lagi. Tangkai atmaku terjerut. Aku membisu. Terkilan kerana langsung tidak diberitahu olehnya sendiri. Pandanganku berbalam-balam, bukan tempias hujan, tetapi renik air mata bergentayangan di kelopak. Begitu mudah mengheret emosi di aspal hati, lalu membiarkan air mata mulai merembes turun ke pipi dan jatuh ke bawah setelah menyentuh hujung dagu.

"Turun!!...Turun!!.." suara pemandu bas yang kuat menyuruh kami turun mengejutkanku. Kami sudah tiba di Puduraya rupanya. Terasa begitu pantas masa berlalu.

Aku masih tergamam amat. Masih sukar mempercayai lelaki yang kucintai sudah lebih awal pulang menghadap Ilahi.

"Saya diamanahkan untuk menyampaikan surat ini."
lantas sekeping kertas kecil diletakkan di sebelah tubuhku.

"Harap awak bersabar dan teruskan perjuangan. Dia sememangnya tidak mahu awak terluka dan hilang pertimbangan untuk meneruskan tajdid hidup awak. Hijrahlah untuk Allah dan Rasulnya. Jadilah seperti Sumayyah dan Masyitah dan katanya lagi ambillah iktibar dari perjuangan Khadijah Habibah. Saya mahu beransur, kembali meneruskan perkelanaan ini".

Aku diam. Terus membisu. Mataku menyoroti pergerakannya turun dari bas dan sehingga bayangnya menghilang ditengah- tengah orang ramai di Puduraya.

Perlahan ku buka kertas yang mengandungi nota itu. Tulisan akhir kalam Juzaili sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Assalamualaikum WarahnatulLah Wabarakatuh....
Buat Mawaddatul Nur Zulaikha yang kucintai, aku pohon berjuta kemaafan kerana merahsiakan perkara ini. Aku mahu dirimu terus berjuang di jalan ini walaupun pahit tanpaku. Sebenarnya aku mahu engkau membiasakan diri berjuang tanpa bantuanku dan yang paling penting bukan keranaku. Semoga Allah akan menjagamu...Berdiri dan bermujahadahlah seperti Sumayyah dan Khadijah Habibah!!"
- juzaili johan esqandar merza -

Aku beristighfar panjang. Dalam hati pohon bebanyak kemaafan terutama apabila aku menaruh syak wasangka dan su’uzdhan pada dirinya.

Aku tersepa di kerusi bas. Angin dingin berpuput lembut masuk, lalu hinggap ke tubuh. Aku lantas bangkit. Pawana itu kemudiannya lekas menyusup keluar. Keluar bersama – sama tubuh dan semangatku yang kembali tercerna.

"Aku Mawaddatul Nur Zulaikha akan meneruskan tajdid demi menegakkan dan menyemarakkan api perjuangan Islam"

0 Comments:

Post a Comment