Friday, November 7, 2008
basmalah
Adam! Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu. Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu, sentiasa mau terpesong dari landasan kerana aku buruan syaitan.
Adam! Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya pada akhir zaman. Itulah ketelitian Allah dalam urusanNya. Jika bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia dengan darah dan kacau bilaulah suasana. Adam sama Adam bermusuh kerana Hawa. Buktinya peristiwa Habil dan Qabil hingga zaman cucu-cicitnya. Jika begitu tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih daripada satu tapi tidak lebih dari empat pada satu masa.
Adam! Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Atau sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku. Tapi aku risau dan gundah menyaksikan tingkah lakumu. Sejak dulu lagi aku mesti tunduk pabila menjadi isterimu. Namun, terasa berat pula untukku meyatakan isi hati.
Adam! Aku tahu, Al-Quran ada menyatakan kaum lelaki memimpin kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku. Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agarsentiasa dalam redha Allah. Tapi, aku dan kaumku kini telah ramai yang menderhakaimu. Menyimpang dari jalan yang telah disyariatkan. Allah perintah aku tinggal di rumah. Bukan berjalan-jalan di pasar atau Bandar sewenang-wenangnya. Jika keluar pun, seluruh tubuhku mesti ditutup ikut syariat. Tapi, ramai diantaraku yang melanggar batas-batas itu.
Adam! Mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu. Jadi guru. Menjaga dan mendidik anak-anakmu. Waktu yang sama aku mengurus dan mentadbir negara. Ke hutan memikul senjata. Padahal kau duduk saja. Ada di antara kaummu yang menggangur. Kau tidak seperti dulu lagi. Adam! Sudah hilangkah kasih sucimu padaku?
Adam! Marahkah kau jika kukatakan, “Andainya Hawa yang terpesong, maka Adam yang patut tanggung!” Mengapa begitu Adam? Orang kata, “Jika anak jahat, emak bapak yang tak pandai didik. Jika murid bodoh, guru tak tahu mengajar!” Adam kau selalu kata, “Hawa memang degil. Tak mahu dengar kata. Tak mudah makan nasihat. Kepala batu.” Pada hematku yang dhaif ini Adam, seharusnya kau tanya dirimu, “Apakah didikanmu padaku seperti didikan Nabi s.a.w. terhadap isteri-isterinya? Adakah layananmu sama seperti psikologi baginda terhadap mereka? Adakah akhlak kaummu menjadi ikutan kaumku?
Adam! Sebenarnya, kau imam dan aku adalah makmun. Aku pengikutmu dan kau ketuaku. Jika kau benar, maka baiklah aku. Jiak kau lalai, aku juga lalai. Kau punya kelebihan akal, aku pula kelebihan nafsu. Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku! Akalku satu nafsuku beribu. Oleh itu Adam! Pimpinlah aku dari kelalaian. Aku sering tergelincir kerana dorongan nafsuku dan kuncu-kuncunya. Bimbinglah aku menghayati kalimah suci Allah. Dengarkan padaku kalimah Tuhanmu agar terang hidupku. Hembuskan roh jihad ke dalam hatiku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.
Adam! Andainya aku masih lalai kerana sikapmu sendiri. Segan menuruti langkah para sahabat. Masih gentar mencegah mungkar. Maka tunggu dan lihatlah, saat kehancuran dunia ini apabila kaumku yang memerintah. Kau akan malu Adam! Malu pada dirimu sendiri! Lebih teruk lagi, engkau malu dan bersalah pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu. subhanallah